Tanggang moden
MASIH ingatkah lagi dengan sebuah iklan Aidilfitri mengenai seorang wanita yang gagal membalas jasa ayahnya kerana perlu menjaga hati suami?
Iklan Petronas itu bermula apabila wanita tersebut mengambil bapanya yang tua dari hospital untuk pulang ke rumah. Pada masa yang sama suaminya bertanya tidak bolehkah bapanya tinggal lebih lama di hospital?
Di rumah anaknya, lelaki tua itu menerima layanan dingin daripada menantu sehingga ketika makan pun orang tua itu terpaksa makan berseorangan di tempat lain.
Iklan itu berakhir apabila wanita tersebut sedar dia gagal membayar balik segala pengorbanan dan kasih sayang yang diberikan oleh bapanya.
Walaupun ia sekadar sebuah iklan, hakikatnya ia satu sindiran dan peringatan buat kita semua. Kisah anak melupakan jasa, keringat dan pengorbanan ibu bapa bukanlah sesuatu yang baru. Menyorot filem lama yang paling dekat mengingatkan kita tentang kisah anak derhaka adalah filem Si Tanggang.
Hari ini dalam dunia realiti kisah si Tanggang semakin berleluasa. Lebih menyedihkan, bagaimana tragisnya kisah Tanggang, begitulah keras dan kejamnya hati sebilangan Tanggang moden hari ini.
Baru-baru ini contohnya, media melaporkan mengenai dua insiden seorang bapa telah 'dibuang' oleh anaknya.
Dalam kes pertama, seorang pesakit buah pinggang berumur 60 tahun telah ditinggalkan oleh anaknya di pusat hemodialisis di Kangar, Perlis. Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kemudian menempatkan lelaki tersebut di sebuah rumah kebajikan, Rumah Sri kenangan di Jejawi.
Seminggu sebelum itu, seorang bapa berumur 57 tahun telah ditinggalkan di tepi jalan bersama bungkusan pakaiannya di Behor dekat Kangar. Beliau yang baru menjalani pembedahan jantung terpaksa berlindung dan tidur di sebuah perhentian bas.
Mengulas mengenai peristiwa Tanggang moden yang kerap berlaku menurut Pegawai Kemajuan Masyarakat (Kemas), Rafia'ah Jaafar, cara ibu bapa mendidik anak-anak menjadi salah satu sebab kenapa zuriat mereka sanggup membuang mereka seperti mana kisah Si Tanggang.
Katanya, kebanyakan ibu bapa hari ini mungkin mahukan anak-anak mereka menjadi yang terbaik atau lebih daripada mereka sehingga memberikan kasih sayang melimpah ruah.
"Ramai ibu melakukan kesilapan dengan terlampau memanjakan anak mereka. Bila besar, anak itu tidak dapat menilai perkara yang dikorbankan oleh ibu bapa dan berasa mereka berhak terhadap apa yang diberikan ibu bapanya," katanya.
Apabila ibu bapa semakin tua, anak-anak berasa bukan tanggungjawab mereka untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi ibu bapa, kata Rafia'ah.
Ada juga anak yang mementingkan diri sendiri dan memandang sambil lewa terhadap ibu bapa.
Namun katanya sekiranya anak-anak menjalani hidup yang terlalu sukar atau tertekan ia mungkin mendorong mereka melupakan ibu bapa mereka apabila sudah dewasa.
"Sesetengah kanak-kanak membesar penuh traumatik kerana didera secara mental atau fizikal. Mereka mungkin dalam diam membentuk sifat benci ibu bapa. Jadi bila anak ini besar, mereka membalas apa yang mereka alami semasa kecil terhadap ibu bapa," tambah beliau.
Sementara itu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan sesiapa yang membuang ibu bapa telah melakukan satu perbuatan yang kejam.
Beliau menasihati mereka yang tidak mampu menjaga ibu bapa supaya menghubungi pejabat kebajikan yang terdekat.
"Jangan tinggalkan mereka di hospital atau di jalanan. Juga jangan tinggalkan orang tua yang tidak berdaya keseorangan tanpa jagaan di rumah,"
sumber : kosmo
nota kaki : Ingatkan kes buang anak je fofular skrg..tp buang mak n ayah pun ade..dunia2.. Siapa lah kita tanpa mereka ...I love my parennts...u?
betul2..kes buang parents pn byk..huhu...sedih baca..simpati tgk muka2 durang..moga2 kita sume x jadi ank derhaka..