Acara berlangsung di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur, malam kelmarin, dimulakan dengan bacaan selawat, paluan kompang bagi mengalukan ketibaan Zizan, 36, dan Hani, 30, ke pintu masuk dewan.
Tepat jam 9 malam, Zizan dan Hani di arak masuk ke dewan dengan iringan persembahan pancaragam St John Bagpipe Alumni menuju ke pelamin yang bertemakan warna putih dan merah jambu.
Apa yang menarik, juruacara majlis, Wan DJ juga memulakan setiap acara dengan pelbagai pantun empat kerat sehinggalah majlis berakhir kira-kira jam 11 malam.
Pada malam yang cukup bermakna itu, Zizan nampak segak dengan tuksedo hitam dan krim rekaan Bon Zainal dan Hani pula tampil menawan dengan gaun warna putih dan merah jambu rekaan Datin Lynda Rahim pada hari bersejarah dalam hidup mereka itu.
Zizan yang turut tidak dapat menahan sebak pada malam itu berkata, dia tetap berpuas hati kerana majlis persandingannya itu berjalan lancar seperti direncanakan.
"Saya gembira kerana majlis ini dihadiri bapa dan adik beradik yang lain untuk sama-sama meraikan hari bahagia kami ini. Apapun, kami hanya mengadakan satu majlis resepsi saja. Perancang majlis perkahwinan ialah pengurus dan keluarga mentua sendiri.
"Pelamin dan dekorasi dewan dikendalikan Jo Gior dari Bangsar yang berpengalaman dengan hiasan dalaman dan konsep pelbagai majlis perkahwinan," katanya.
Zizan berkata, dia dan Hani sepakat memilih untuk meraikan majlis persandingan di Dewan Perdana Felda kerana bentuknya yang unik.
"Kami juga memilih tema persandingan dalam taman kerana sama-sama sukakan bau-bauan bunga segar sekali gus menyemarakkan cinta kami berdua," katanya.
Pasangan ini selamat diijabkabulkan selepas solat Isyak iaitu jam 9.40 malam pada 19 Mac (Jumaat) lalu dalam satu majlis sederhana di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Dengan sekali lafaz, Zizan sah bergelar suami kepada Hani dengan berwalikan bapanya, Datuk Harun Hashim di hadapan Pendaftar Perkahwinan Jabatan Agama Islam, Wilayah Persekutuan, Abdullah Hashim.
Pada majlis pernikahan yang dihadiri 150 tetamu membabitkan keluarga terdekat kedua-dua belah pihak itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM651 kepada pihak perempuan.
Selain itu, pihak lelaki menyerahkan tujuh dulang hantaran dan dibalas sembilan oleh pihak perempuan. Bagaimanapun, pasangan ini sepakat merahsiakan jumlah wang hantaran kerana hanya untuk pengetahuan keluarga masing-masing.
Zizan berkata, dia memilih merahsiakan jumlah wang hantaran kerana tidak ingin orang menuduhnya untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain.
"Saya harap peminat dan pihak media memahami keadaan kami ini," katanya.
Ditanya sama ada dia berasa sedih kerana arwah ibunya tiada bersama pada malam itu, Zizan berkata, dia reda dengan pemergian ibunya, Bibi Kalsom Mohd Sidek yang meninggal dunia kerana penyakit radang paru-paru dan sendi pada September lalu.
"Saya bersyukur kerana arwah ibu sempat berjumpa Hani dan merestui hubungan kami berdua. Begitu juga keluarga Hani yang bersedia menerima saya seadanya dalam hidup mereka. Saya percaya walaupun arwah ibu tiada pada malam ini, dia tetap mendoakan kebahagiaan kami berdua," katanya.
Soal anak pula, kata Zizan, ia masih terlalu awal lagi untuk diberitahu kepada peminat.
"Saya dan Hani berharap semoga rumah tangga kami dikurniakan ramai anak kerana suka pada kanak-kanak," katanya.
Mengenai destinasi bulan madu pula, kata Zizan, dia dan Hani merancang untuk berbulan madu di luar negara.
Namun, mereka belum putuskan destinasi mana untuk berbulan madu nanti.
"Selepas seminggu bernikah, kami merancang menunaikan umrah bersama keluarga mentua pada 31 Mac ini selama 10 hari.
Selepas kembali dari umrah, saya akan ke Korea pula kerana ada penggambaran di sana selama tiga minggu.
"Selepas itu, barulah kami fikirkan destinasi negara mana untuk berbulan madu. Selepas berkahwin, saya akan meneruskan kerjaya seni seperti biasa selepas ini," katanya.
Bukan saja pada majlis pernikahan, Hani juga nampaknya tidak dapat menahan air matanya gugur ketika berucap pada majlis persandingannya pada malam itu.
"Saya menangis kerana gembira kini sudah bergelar isteri. Saya memilih Zizan sebagai suami kerana dia kelakar, baik dan pandai memasak.
"Saya juga tidak berasa bimbang berkahwin dengan pelakon kerana saya percaya jodoh adalah ketentuan-Nya," katanya.
Majlis persandingan Zizan disemarakkan dengan kehadiran lebih 800 tetamu yang membabitkan keluarga terdekat kedua belah pihak.
Tetamu kenamaan yang hadir ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaafar dan Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa ntv7, 8TV, TV9 dan Rangkaian Radio Kumpulan Media Prima, Datuk Manja Ismail.
Ia disemarakkan lagi dengan kehadiran artis popular tanah air seperti Artis Aquila Emas iaitu Tony Eusoff. Artis lain yang hadir ialah Aqasha, Jehan Miskin, Emelda Rosmila, Cheryl Samad, Rosnah Johari dan Den Wahab dan isteri. Tony turut menghiburkan tetamu dengan beberapa buah lagu pada malam itu.
Mengimbas sejarah percintaan mereka, pasangan ini diperkenalkan seorang rakan dalam satu majlis pada Disember 2008.
Selepas enam bulan berkawan, hubungan itu bertukar serius dan seterusnya mereka bertunang pada 18 Disember tahun lalu di kediaman keluarga Hani di Ampang Jaya.
Selepas lebih setahun berkawan dan mengenali hati budi masing-masing, mereka terus mengakhirinya dengan majlis pernikahan, 19 Mac lalu.