Matrikulasi vs diploma
Biarpun bijak dan memperoleh keputusan cemerlang, bukan jaminan mereka mampu mengharungi tempoh pengajian setahun yang padat dan mencabar kerana matrikulasi berisiko kalau tidak bersedia.
Tidak hairanlah ada yang kecundang kerana tidak mampu mengikut syarat diperuntukkan meskipun mempunyai keputusan cemerlang.
Dengan 14 kolej matrikulasi seluruh negara dan enam pusat asasi ditawarkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) , peratusan mereka yang gagal menamatkan pengajian tetap ada.
Persoalannya ke mana arah mereka yang gagal ini dan masih wujudkah lagi peluang lain menyambung pengajian? Naib Canselor Universiti Teknologi Mara ( UiTM), Datuk Profesor Dr Sahol Hamid Abu Bakar, berkata kegagalan tidak bermakna cita-cita mereka menggenggam ijazah terhenti kerana peluang masih terbuka.
Menurutnya, banyak institusi pendidikan dalam negara mampu memberi peluang kedua menyambung pengajian sekali gus memperbaiki kegagalan.
"Kali pertama gagal, renung apa kesilapan diri. Mereka bijak tapi bukan semua boleh berjaya. Bagaimanapun jangan jadikan itu sebagai alasan.
"Rebut peluang belajar yang ditawarkan pelbagai institusi sedia ada. Itu lebih baik daripada terus meratap dan menyalahkan diri sendiri," katanya.
Diploma yang ditawarkan kebanyakan IPTA adalah peluang terbaik kerana pelajar boleh menggunakan semula kelayakan asas SPM untuk memohon.
Berbanding matrikulasi, diploma juga dianggap pilihan 'selamat' untuk membina masa depan meskipun tempoh pengajian tiga tahun. Pasaran kerjayanya juga cerah kerana program berkenaan sudah dimantapkan dengan keperluan industri.
Kepelbagaian program juga satu kelebihan berbanding matrikulasi yang hanya menawarkan dua jurusan iaitu sains dan perakaunan.
Atas dasar keprihatinan, UiTM turut membuka pintu menawarkan diploma namun mesti mengikut prosedur ditetapkan, antaranya perlu memohon semula menggunakan kelayakan SPM.
Bagaimanapun, Dr Sahol Hamid berkata, jangan melihat isu itu sebagai sensasi tapi lebih kepada menunaikan tanggungjawab kepada anak bangsa.
"Sebagai sebuah universiti yang mempunyai keupayaan menampung kapasiti pelajar ramai, UiTM memang mahu membantu apatah lagi ada wawasan untuk mencapai sasaran 200,000 pelajar.
"Bagaimanapun tiada keistimewaan diberikan, kena ikut proses dan permohonan menggunakan SPM. Rugi kerana perlu mengulang tapi itu lebih daripada terus meratap kegagalan," katanya.
Program Matrikulasi kecuali di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Pusat Asasi Sains Universiti Malaya dikendalikan sepenuhnya Bahagian Matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia.
Empat IPTA lain ialah Pusat Asasi UiTM, Sains Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pusat Asasi Universiti Pertahanan Malaysia ( UPNM).
Ditanya jika ada agenda tersembunyi, beliau menafikan sebaliknya menganggap tujuan itu adalah amanah kepada semua institusi yang menjadi pemangkin proses pembelajaran sepanjang hayat.
Malah turut menegaskan matrikulasi tidak gagal dan masih relevan cuma berisiko tinggi kepada pelajar yang lalai.
"Jika gagal diploma masih boleh mengulang, peluang kerjaya juga lebih terjamin tapi bagaimana jika gagal matrikulasi sebab sijilnya kurang diperakui majikan.
" Sama ada matrikulasi atau diploma, terserah tapi kena pastikan benar- benar bersedia, kalau tidak pasti rugi dan buang masa," katanya.
Dr Sahol Hamid berkata kegagalan adalah subjektif tapi mengakui faktor piawaian pengajian yang tinggi menyebabkan pelajar perlu bersedia melalui frasa pengajian ditawarkan.
"Jangan belajar sambil lewa tapi beri penumpuan. Kalau tidak, bersedialah menghadapi risikonya," katanya.
bace artikel ni naik jugak semangat aku...