Kecelaruan Jantina
Ibu bapa bertanggungjawab mendidik anak mereka daripada terlibat dengan gejala kecelaruan jantina yang berlaku di negara ini dan bukannya terus menyalahkan kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim.
Beliau berkata, kecelaruan ini tidak berlaku secara mengejut, tetapi bermula secara perlahan-lahan dari kecil dan seharusnya diberi perhatian penuh oleh ibu bapa melalui didikan di rumah dan masyarakat setempat.
"Ibu bapa harus mendidik anak dengan cara berpakaian, penampilan dan tingkah laku mengikut jantina malah pemilihan nama juga harus dititikberatkan agar tidak berlaku gejala kecelaruan jantina ini,” katanya semasa ditemu bual dalam program Kerusi Panas di Bernama Radio24 di sini hari ini.
Mengenai tindakan yang diambil kerajaan bagi mengawal pengaruh Barat yang dilihat memberi kesan kepada penularan gejala itu, Mashitah berkata, revolusi ‘langit terbuka’ kini tidak boleh dibendung tetapi boleh dikawal dengan kerjasama semua pihak.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah untuk membantu golongan yang mempunyai masalah kecelaruan jantina termasuk membina pusat-pusat pemulihan akhlak di beberapa lokasi di seluruh negara.
Mashitah berkata, golongan seperti ini tidak boleh dipaksa untuk ke pusat pemulihan tetapi mereka harus didekati dan dinasihati termasuk diberi didikan agama untuk menyedarkan mereka.
hanya mereka yg tahu apa masalah sebernarnya dlm diri mereka msg2