• About
  • Parent Page
  • Archives
  • Uncategorized
  • Jom Balik Kampung ! Diskaun Tol

    Aug 11, 2012



    RAWANG - Sebanyak 24 lebuh raya di seluruh negara akan menawarkan diskaun dan rebat tol antara lima hingga 37.5 peratus kepada jutaan pengguna kenderaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan ulang tahun kemerdekaan negara tahun ini.

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, tawaran diskaun tersebut boleh dinikmati pengguna bermula 15 Ogos ini apabila ada antara lebuh raya berkenaan menawarkan kadar murah itu bermula tarikh tersebut.

    Beliau berkata, tambah menarik apabila Lebuh Raya Maju (MEX) dan Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) menawarkan tol percuma kepada pengguna bagi semua kenderaan pada 31 Ogos ini.

    "Tawaran diskaun ini merupakan yang tertinggi pernah diberi pengendali lebuh raya di negara ini yang menggunakan peluang tersebut untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat syarikat masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke tapak cadangan pembinaan susur keluar dari Lebuh Raya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Kundang di sini semalam.

    Permohonan ke politeknik sesi Dis dibuka

    Aug 10, 2012


    Borang permohonan memasuki politeknik Kementerian Pengajian Tinggi bagi sesi Disember tahun ini akan mula dijual pada 13 Ogos ini.

    Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Mejar (K) Md Nor Yusof berkata, sebanyak 20,500 tempat ditawarkan di 30 politeknik seluruh negara bagi pelajar lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan sijil politeknik kementerian itu.

    Tarikh tutup permohonan ialah pada 23 September, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Beliau berkata, para pelajar boleh memperoleh nombor pin di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional dengan harga RM10.60 dan membuat permohonan secara atas talian di www.politeknik.edu.my.

     "Pelajar yang telah membeli nombor pin untuk kemasukan sesi Jun 2012 tetapi gagal untuk mendapat tempat di politeknik, boleh menggunakan nombor pin yang sama untuk memohon semula bagi sesi Disember ini," katanya.

     Jenis kursus yang ditawarkan terdiri daripada 24 kursus peringkat sijil dan 24 kursus peringkat diploma bagi lulusan SPM atau STPM, dan 13 jenis kursus peringkat diploma bagi lulusan Sijil Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, katanya.

    Keputusan permohonan dijangka diketahui pada 3 November dan pelajar yang berjaya akan mula mendaftar pada 17 Disember.

     Md Nor berkata sebarang pertanyaan berhubung kemasukan ke politeknik berkenaan boleh diajukan ke Bahagian Pengambilan Pelajar, Jabatan Pengajian Politeknik, Aras 4, Galeria PjH, Jalan P4W, Persiaran Perdana, Presint 4, 62100 Putrajaya atau telefon 03-8891 9240/9255